Bawah 12 Tahun Kelantan Menggegar Bumi Johor

Pasukan bawah 12 tahun Kelantan kategori Lelaki dan Perempuan telah berjaya membawa nama Kelantan ke pentas podium untuk masing-masing menggenggam medal Emas dan Perak.

Kategori lelaki dibintangi oleh AFM Mohd Ammar Rayyan, AFM Gan Wen Han, Muhd Uzair dan Nik Umar Farouqi. Mereka berjaya memenangi semua kelima-lima perlawanan pertama mereka sebelum seri di pusingan akhir dengan pasukan Kedah. Mangsa-mangsa mereka bukan calang-calang. Mereka memulakan rentak dengan menewaskan Melaka, diikuti oleh Putrajaya, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. 

Kategori perempuan disinari oleh Nurul Izzah Farhana, Zara Umaira, Nurfalisha Irdina dan Wan Risya Erinna. Laluan mereka berlawanan dengan pasukan lelaki. Mereka tewas 0-4 kepada pasukan Johor dipusingan pertama sebelum menang 4 pusingan berturut-turut menewaskan Sabah, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Pada pusingan akhir, mereka perlu menewaskan Kuala Lumpur untuk menggenggam Emas, namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila hanya seri dan terpaksa berpuas hati dengan kilauan Perak. 

Pasukan bawah 15 tahun Lelaki merupakan pasukan yang paling kurang menyerlah pada tahun ini. Mereka mendapat BYE pada pusingan kelima dan berakhir di tangga ketujuh. Para pemain pasukan ini adalah Muhd Luqman Nurhakim, Muhd Isyraf, Muhd Adam Rayyan dan Ariel Redza. 

Pasukan bawah 15 tahun Perempuan juga menghadapi nasib yang lebih kurang sama dengan pasukan Lelaki. Pasukan yang dibentuk oleh pemain SUKMA, Ameera Khadijah dan Hannan Azzalea serta dibantu oleh Nur Aqeelah dan Nur Saffiya Sumayyah bermula dengan membelasah Kedah 4-0 namun berakhir di tangga kesembilan setelah tewas dua pusingan terakhir kepada Negeri Sembilan dan Sarawak. 


Ahmad Hizami, Nik Mohd Hafiz, Aizil Nashran dan ‘Ammar yang membentuk pasukan bawah 18 tahun Lelaki melakar 4 kemenangan. Namun, mereka tewas berat kepada Negeri Sembilan pada pusingan kedua dan Kuala Lumpur pada pusingan keempat yang menyebabkan tie break mereka (game points) tidak dapat mengatasi Pulau Pinang selepas pusingan akhir. 

Dua orang pemain SUKMA, Nur Izzah Hayani dan Wan Nadia Fatini tidak dapat memberikan apa-apa kilauan medal pada MSSM kali ini. Mereka berdua dibantu oleh Haifa dan Khayra Imanina namun pasukan mereka hanya mampu menduduki tempat kelima sama seperti pasukan lelaki walaupun menang pusingan akhir 4-0 menewaskan pasukan Terengganu. 

Dalam kategori individu, tiada pemain yang mendapat medal. Namun, kedudukan akhir mereka agak memberangsangkan. Berikut adalah kedudukan akhir setiap kategori selepas berakhir pusingan keenam: 

Bawah 12L 
Muhd Arif Zhafran (13/30)
Muhd Irfan Hamizan (24/30)

Bawah 12P 
Putri Siti Anum (19/30)
Nurul Ulfah Fathiya (23/30)


Bawah 15L
Muhd Amsyar Rayyan (12/30)
Nik Muhd Irfan Dzikri (27/30)


Bawah 15P

Nur Aleesya Sofea (14/30)
Wan Nur Alya Qaisara (20/30)


Bawah 18L

Danny Ooi (25/30)
Nik Airay Khalish (30/30)

 Bawah 18P
Qistina Mat Roni (18/30)
Siti Nur Athilah (27/30)

 

Amat mendukacitakan apabila kedudukan pasukan Kelantan secara keseluruhannya masih belum meningkat. Namun, diharapkan dengan asas pasukan bawah 12 yang kukuh, pasukan catur Kelantan akan terus meningkat bermula daripada sekarang. Semua pihak termasuk PCNK, JPN, akademi-akademi catur, ibubapa dan guru-guru diharapkan dapat bekerjasama membina satu pasukan yang digeruni pada masa akan datang.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *