TAHUKAH ANDA?
Pemain dan ibubapa/guru juga memainkan peranan penting dalam memastikan kejohanan berjalan lancar. Berikut adalah beberapa perkara yang PERLU dilakukan oleh mereka dalam sesuatu kejohanan:
1. Mendaftar maklumat yang diperlukan sebelum tarikh tutup pendaftaran
Pihak penganjur biasanya meletakkan tarikh tutup pendaftaran untuk memudahkan urusan menyediakan peralatan yang secukupnya. Oleh itu, pihak ibubapa dan guru sepatutnya tidak menunggu sehingga tamat tarikh untuk mendaftar nama kerana ini boleh menyebabkan pihak penganjur tidak sempat untuk memastikan peralatan yang diperlukan cukup untuk semua pemain.
2. Memeriksa nama dalam chess results
Setelah tarikh tutup, pihak penganjur akan memasukkan nama pemain ke dalam sistem pairing. Setelah siap, mereka akan memuatnaik nama-nama tersebut ke dalam laman chess results. Adalah menjadi tanggungjawab pemain dan ibubapa/guru memastikan nama mereka tidak tercicir.
3. Mengesahkan kehadiran pada pagi kejohanan
Setelah pasti nama tidak tercicir, pemain masih lagi wajib hadir awal sekurang-kurangnya satu jam sebelum pusingan pertama untuk mengesahkan kehadiran. Ini membolehkan penganjur membuang nama-nama yang tidak hadir agar tidak ada meja kosong setelah permainan bermula.
4. Menjelaskan yuran kejohanan
Setelah selesai bermain pusingan pertama, pemain atau ibubapa/guru boleh segera membayar yuran untuk memudahkan urusan pihak penganjur. Pihak penganjur berhak membuang nama pemain sekiranya pemain bertindak tidak membayar yuran.
5. Menepati jadual dan undang-undang kejohanan
Setiap individu seharusnya menepati segala jadual dan undang-undang kejohanan agar tidak berlaku ketidakadilan atau ketidakpuasan hati sepanjang kejohanan berlangsung. Pihak penganjur akan sedaya upaya mengikut jadual yang telah diiklankan agar tidak berlaku kelewatan, oleh itu pematuhan daripada pihak pemain dan ibubapa/guru amatlah dihargai, terutamanya waktu pendaftaran peserta.
6. Mengawal tingkahlaku anak/murid jagaan masing-masing
Tingkah laku anak-anak atau murid-murid jagaan anda adalah di bawah tanggungjawab anda. Jangan bebankan pihak penganjur untuk memberi peringatan pada setiap pusingan. Ajar mereka apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan dalam dewan kejohanan. Keadaan huru-hara dan bising akan menjejaskan kelicinan kejohanan.
Oleh itu, jadilah seorang pemain atau ibubapa/guru yang bertanggungjawab. Mainkan peranan masing-masing agar kejohanan catur di Kelantan menjadi antara kejohanan yang berprestij dan profesional.
Terbaik!