Selamat Tahun Baru 2022
Salam tahun baru 2022 saya ucapkan kepada pencinta catur di Kelantan khasnya dan di seluruh Malaysia amnya.
Tahun 2021 telah berlalu dengan suasana yang agak muram bagi catur di Kelantan secara khusus. Tiada kejohanan catur bersemuka dapat diadakan memandangkan keadaan pandemik yang masih berlangsung. Namun, PCNK berusaha memberikan yang terbaik untuk ahli-ahlinya dengan mengadakan kejohanan-kejohanan catur secara atas talian. Walaupun suasana tidak sama, namun kemahiran pencatur masih dapat digunakan walaupun secara maya.
Tahun 2022 diharapkan dapat memberikan sesuatu yang lebih baik lagi terutamanya kepada ahli-ahli PCNK yang aktif. Kejohanan-kejohanan catur bersemuka sedang dirancang kerana Kelantan sudah masuk ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Kejohanan-kejohanan catur secara atas talian juga akan diadakan kerana ia boleh memberikan manfaat yang maksimum kepada ahli aktif yang tentunya akan mendapat diskaun yuran dalam setiap aktiviti tersebut.
Sehubungan itu, ahli-ahli digalakkan mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama secara langsung dengan menyumbang melalui Yuran Tahunan yang akan digunakan untuk melicinkan perjalanan aktiviti-aktiviti tersebut. Semoga dengan kerjasama ini, PCNK mampu menjadi antara persatuan catur yang terbaik di Malaysia. Para pencatur Kelantan boleh menekan butang Borang Keahlian PCNK Online yang berada di sebelah kanan laman web ini. Ahli baru dan ahli sedia ada yang ingin membayar yuran tahunan juga boleh membuat sedemikian di kaunter yang akan dibuka pada setiap kejohanan anjuran PCNK.
Namun, adalah diharapkan pihak yang berminat membayar yuran tahun 2022 sebelum 1 Mac untuk melayakkan mereka manfaat-manfaat dan faedah-faedah di atas.
MOHD AZIZUL MAT DAUD
Presiden 2021-2023
Leave a Reply