Nakamira Juara Keputeraan Penuh Kontroversi

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Tiada siapa pun yang menyangka bahawa Dr. Nasrul Humaimi akan menjadi juara Kejohanan Sempena Keputeraan Sultan Kelantan 2020 yang berlangsung secara online di Lichess, Rabu lepas kerana medan pertarungan dipenuhi barisan bintang terdiri daripada FM Wong Yin Loong, Evan Timothy Capel dan juga Looi Xin Hao. Namun, tuah telah menyebelahi beliau apabila berjaya mengelakkan hampir kesemua nama-nama besar tersebut dalam laluan merangkul kejuaraan. Hanya Xin Hao yang menjadi penghalang di pusingan ketujuh manakala Wong dan Evan tewas masing-masing di pusingan pertama dan keempat menyebabkan mereka tidak diundi bertemu beliau yang mencapai kemenangan demi kemenangan.
Namun, kemenangan beliau telah dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang mengesyaki beliau menggunakan bantuan perisian komputer. Pihak tersebut telah mendahului PCNK dengan membuat laporan kepada Lichess.org menyebabkan akaun beliau di Lichess ditahan. Oleh itu, pihak PCNK terpaksa mengambil masa dalam mengeluarkan senarai pemenang secara rasmi kerana PCNK mestilah berlaku adil kepada kedua-dua pihak.
Pihak yang menuduh telah membuat tuduhan tersebut berdasarkan keupayaan akaun nakamira (Dr. Nasrul Humaimi) yang mempunyai rating Lichess 1518 mengalahkan ramai pihak lawan yang mempunyai rating yang jauh lebih tinggi. Seorang daripada mereka telah membuat aduan kepada Lichess.org, dan setelah pihak Lichess.org membuat analisis, mereka telah menahan akaun nakamira dengan serta-merta. Analisis yang dibuat adalah menggunakan perisian yang mampu mengesan penggunaan enjin berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan, antaranya membuat perbandingan antara permainan pemilik akaun dalam kejohanan dengan permainan-permainan beliau terdahulu di dalam arkib. Kriteria yang lain adalah sejauh mana peratusan gerakan yang menyamai komputer yang dilakukan oleh pemilik akaun.
Manakala pihak tertuduh pula telah mengemukakan bukti untuk menafikan pertuduhan yang dibuat. Sejurus nama beliau dipotong oleh pihak Lichess.org, beliau telah menghantar satu pernyataan kepada pihak Lichess.org bahawa beliau tidak menggunakan bantuan perisian komputer. Beliau juga telah menghantar satu surat kepada PCNK menafikan pertuduhan tersebut dengan memberikan bukti-bukti. (lihat lampiran B)
Pihak PCNK telah menilai pernyataan daripada kedua-dua pihak dengan teliti, dan telah mengambil keputusan MENGEKALKAN kejuaraan yang dimenangi oleh Dr. Nasrul Humaimi dengan akaun Lichess nakamira atas alasan-alasan berikut:
- Pihak yang menuduh membuat tuduhan hanya berdasarkan andaian dan tidak sama sekali memberikan alasan yang kukuh untuk pertuduhan tersebut. Mereka membuat andaian bahawa seorang pemilik akaun yang hanya mempunyai rating serendah 1518 seharusnya tidak layak untuk menjadi juara pada kebiasaannya. Jika pemilik akaun ini berjaya menewaskan ramai lawan yang mempunyai rating lebih tinggi, beliau semestinya menggunakan bantuan perisian komputer. Pada hakikatnya, pihak tertuduh mempunyai rating FIDE sebenar setinggi 1904 (lihat lampiran A) dan pernah mencapai rating tertinggi 1981 dan beliau hanya menggunakan akaun Lichess milik anak beliau. Ini tiada masalah kerana dalam pendaftaran beliau telah menyatakan dengan jelas nama sebenar dan nama akaun yang akan digunakan, seperti juga pemain-pemain lain.
- Analisis Lichess.org yang membuat perbandingan di antara permainan tertuduh dengan permainan-permainan beliau yang lampau yang terdapat dalam arkib akaun nakamira tidak boleh digunapakai kerana akaun nakamira adalah akaun milik anak beliau yang semestinya menunjukkan permainan-permainan yang agak rendah tahapnya.
- Kriteria seterusnya yang membandingkan peratusan gerakan terbaik atau menyamai gerakan komputer yang dilakukan oleh tertuduh juga tidak dapat diterima. Pihak PCNK telah membuat semakan sendiri menggunakan Lichess.org dan juga chess.com dan mendapati bahawa tertuduh ada membuat kesilapan-kesilapan yang tidak akan dilakukan oleh komputer. Gerakan-gerakan terbaik beliau adalah kerana pihak lawan kurang cermat dan banyak melakukan kesilapan menyebabkan beliau mampu mencari jawapan yang mudah untuk setiap gerakan. Malah permainan beliau menentang Looi Xin Hao adalah setara sehinggalah Xin Hao membuat kesilapan pada gerakan ke 49.
- PCNK telah membuat perbandingan rating FIDE yang merupakan kekuatan sebenar seseorang pemain dan telah mendapati bahawa rating FIDE tertuduh (1904) berada di tangga ke 5 di belakang FM Wong Yin Loong (2381), Evan Timothy Capel (2164), Looi Xin Hao (2101) dan Mukhriez Shah (1905) daripada keseluruhan senarai peserta kejohanan. Seperti yang telah dinyatakan di atas, FM Wong dan Evan menafikan hak mereka untuk bertemu dengan tertuduh setelah masing-masing tewas kepada lawan di pusingan awal manakala Looi telah tewas di tangan tertuduh di pusingan ketujuh dan Mukhriez seri dengan beliau di pusingan akhir. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau bernasib baik dan berdasarkan kekuatan sebenar, beliau layak untuk bergelar juara.
Sehubungan itu, pihak PCNK mengambil keputusan MENGEKALKAN kejuaran nakamira. Berikut adalah senarai pemenang kejohanan:
PENTING!!
Para pemenang dikehendaki menghantar nombor akaun bank DAN gambar semasa kejohanan ke alamat email catur.kelantan@gmail.com bermula hari ini 15 November sehingga 17 November 2020 untuk membuat tuntutan hadiah. Jika salah satu daripadanya tidak dapat disertakan, hadiah akan dipindahkan kepada pemenang berikutnya.
Di bawah ini disertakan beberapa bukti berkaitan:

Lampiran A: Profail FIDE Nasrul Humaimi

Lampiran B: Surat penjelasan Nasrul Humaimi
Leave a Reply