Selamat Tahun Baru 2023

 

Salam tahun baru 2023 saya ucapkan kepada pencinta catur di Kelantan khasnya dan di seluruh Malaysia amnya.

Tahun 2022 telah berlalu dengan cepat, namun PCNK berjaya mengadakan pelbagai kejohanan samada secara bersemuka atau secara maya menggunakan platform Lichess. Namun, saya merasakan ahli-ahli yang membayar yuran 2022 tidak menggunakan sepenuhnya peluang yang ada tahun lepas untuk memastikan pelaburan sebanyak RM30 (dewasa) atau RM15 (bawah 18 tahun) berbaloi sepenuhnya. Kejohanan Sabtu Akhir yang diadakan secara atas talian sebanyak 10 siri mencatatkan penurunan jumlah pemain setiap bulan. Mungkin landskap catur sudah mula menerima suasana kejohanan secara bersemuka kembali setelah 2 tahun bermain secara maya dalam suasana COVID-19.

Tahun 2023 diharapkan dapat memberikan sesuatu yang lebih baik lagi terutamanya kepada ahli-ahli PCNK yang aktif. Kejohanan-kejohanan catur bersemuka sedang dirancang seawal cuti Tahun Baru Cina ini. Kejohanan-kejohanan catur secara atas talian akan dikurangkan, namun mungkin akan tetap diadakan kerana ia boleh memberikan manfaat yang maksimum kepada ahli aktif yang tentunya akan mendapat diskaun yuran dalam setiap aktiviti tersebut.

Sehubungan itu, pada tahun ini, ahli-ahli berpeluang membayar Yuran Tahunan ketika Kejohanan Terbuka Cuti Tahun Baru Cina pada 22 Januari ini. Selain itu, para pencatur Kelantan boleh menekan butang Borang Keahlian PCNK Online yang berada di sebelah kanan laman web ini. Ahli baru dan ahli sedia ada yang ingin membayar yuran tahunan juga boleh membuat sedemikian di kaunter yang akan dibuka pada setiap kejohanan anjuran PCNK.

Adalah diharapkan pihak yang berminat membayar yuran tahun 2023 sebelum 1 Februari untuk melayakkan mereka manfaat-manfaat dan faedah-faedah di atas.

 

MOHD AZIZUL MAT DAUD

Presiden 2021-2023

One Response to Selamat Tahun Baru 2023

  1. ariez azman says:

    baik… selamat tahun baru

Leave a Reply

Your email address will not be published.