Review Kelantan Close 2011



Hanya seminggu lagi sebelum Kelantan Close 2011 bermula, telah 68 peserta setakat ini yang telah mendaftar. Kejohanan tahun ke 2 anjuran PCNK kali ini agak meriah berbanding tahun lepas yang hanya 24 peserta bertanding. Ini pastinya disebabkan PCNK kali ini mempunyai sebuah pasukan penganjur yang agak berpengalaman, diketuai oleh Cikgu Nik Azrihan yang telah banyak menganjurkan pertandingan peringkat sekolah di daerah Kuala Krai. Untuk menghargai jasa Cikgu Nik Azrihan, PCNK kali ini bersetuju untuk menjadikan Kuala Krai sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini.

Kelantan Close 2011 kali ini diadakan di Dewan SMK Pahi Kuala Krai, Kelantan pada 4 dan 5 Februari tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan pemain yang akan mewakili pasukan Red Knights tahun ini mempunyai kualiti dan akan memberikan cabaran dalam setiap pertandingan yang bakal disertai.

Antara nama-nama yang telah mendaftar adalah pastinya Juara Kelantan Close 2010 iaitu Syed Azizi Abd Rahman, pemain yang mewakili Red Knights tahun lepas di NCC 2010 iaitu Nik Ahmad Farouqi, Dr Nasrul Humaimi dan Norazlin Juarih a.k.a Badbishop selain nama-nama pemain yang sentiasa menyokong kejohanan catur di Kelantan seperti Nik Nazri, Baharuddin Hamzah, Azizul Mat Daud dan juga pemain-pemain pelapis Kelantan seperti Alif Mohd Saufi dan anak-anak Cikgu Nik Azrihan sendiri yang baru sahaja menjuarai kategori B-12 Lelaki dan Perempuan MSSD Krai iaitu Nik Mohd Haziq dan Nik Nur Nadzirah.

Pada malam 4 Februari pula akan dilangsungkan Mesyuarat PCNK terbuka buat kali pertama bagi memilih tenaga-tenaga baru yang bakal memantapkan jentera pengurusan PCNK pada tahun 2011 ini. Mesyuarat ini juga adalah untuk mewujudkan Kelab-Kelab Gabungan di bawah PCNK untuk membantu program susulan seperti pertandingan di antara Kelab Gabungan, Proses pemilihan pemain dari peringkat Kelab dan berbagai-bagai lagi selain memenuhi syarat pertubuhan PCNK. Perancangan pada 2011 juga akan dibincangkan semasa mesyuarat dan cadangan-cadangan yang positif amatlah dialu-alukan untuk memastikan PCNK yang telah masuk tahun ke 2 dapat berkembang maju.

Segala sokongan dari peminat-peminat catur Kelantan amatlah diharapkan dan diucapkan ribuan terima kasih. Diharapkan pertandingan kali ini dapat berjalan dengan lancar dan tujuan Kejohanan ini dijalankan dapat mencapai matlamatnya.

GOMO KELATE GOMO

Analisa KC2011 dari Naserov



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *