Perutusan Presiden 2019



 

Salam tahun baru 2019 saya ucapkan kepada pencinta catur di Kelantan khasnya dan di seluruh Malaysia amnya.

Tahun 2018 telah berlalu dengan jayanya setelah pihak PCNK berjaya menganjurkan banyak kejohanan terutamanya secara kerjasama dengan institusi-institusi lain seperti UiTM dan sekolah-sekolah seperti SK Pak Roman.

Tahun 2019 diharapkan dapat memberikan sesuatu yang lebih baik lagi terutamanya kepada ahli-ahli PCNK yang aktif. Lebih banyak kejohanan telah dirancang agar pemain catur di Kelantan tidak ketandusan tempat untuk mengasah kemahiran dan pengetahuan catur mereka. Walaupun pihak kami tidak mampu menganjurkan kejohanan setiap hari minggu, kami berusaha menganjurkan kejohanan setiap bulan dan diharapkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan boleh memberikan manfaat yang maksimum kepada ahli.

Sehubungan itu, ahli-ahli digalakkan mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama secara langsung dengan menyumbang melalui Yuran Tahunan yang akan digunakan untuk melicinkan perjalanan aktiviti-aktiviti tersebut. Semoga dengan kerjasama ini, PCNK mampu menjadi antara persatuan catur yang terbaik di Malaysia. Kali ini, PCNK melangkah setapak ke hadapan dengan menyediakan platform untuk ahli baru mendaftar melalui atas talian (online) dengan menekan butang Borang Keahlian PCNK Online yang berada di sebelah kanan laman web ini.

Tahun ini juga merupakan tahun diadakan pemilihan Majlis Tertinggi PCNK yang baru. Diharapkan pihak yang berminat membayar yuran tahun 2019 sebelum 1 Februari untuk melayakkan mereka bertanding dalam pemilihan tersebut.

 

MOHD AZIZUL MAT DAUD

Presiden 2017-2019



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *